Kusut, fikiran Syamsul jelas terganggu ketika ini, kata Datuk Saniboey

0

 


Penerbit Eksekutif Razor Edge Pictures, Datuk Saniboey Mohd. Ismail tidak menolak kemelut rumah tangga yang sedang dihadapi Syamsul Yusof kini sedikit sebanyak mengganggu fikiran pengarah tersebut di set penggambaran.


Katanya, meskipun Syamsul tidak berkongsi masalah peribadi dengannya, sebagai penerbit dia tahu pengarah tersebut sedang dalam dilema dan kusut memikirkan kontroversi yang menimpanya.


“Buat masa ini, apa yang boleh saya katakan, dia tak mahu diganggu di set penggambaran. Rasanya ramai yang tahu dia kini sedang sibuk dengan pembikinan filem The Original Gangster dan masih berbaki banyak lagi tugasan di set.


“Saya tak campur urusan peribadinya tetapi tak dinafikan, memang boleh tahu, fokusnya sedikit terganggu berikutan isu yang sedang berlaku kebelakangan ini. Progres penggambaran juga ada yang terjejas.


“Cuma tidaklah teruk. Masih dalam keadaan terkawal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.


Selain itu, Saniboey memuji Syamsul yang disifatkannya memiliki semangat yang kuat ketika bekerja.


Bagaimanapun, ketika berkesempatan berbual dengan Syamsul kelmarin, katanya, pengarah itu ada memberitahu enggan diganggu dengan masalah lain.


“Kebetulan pula sekarang ini penggambaran pula banyak pada babak-babak yang berat, contohnya macam letupan termasuk perlu beralih kepada tiga lokasi pada hari sama. Semestinya dia mahu fokus terhadap kerja-kerja di set dan tak nak diganggu.


“Pun begitu, satu mengenai Syamsul yang saya kenali, dia ini memiliki semangat yang jitu bila tiba bab kerja. Profesionalisme Syamsul ketika bikin filem memang tak dapat disangkal.


“Itu juga menjadi satu sebab saya kagumi dirinya. Dalam pada sedang dilanda masalah, dia tetap profesional dan cuba siapkan kerja dengan sehabis baik,”katanya.


The Original Gangster adalah arahan pertama Syamsul di bawah syarikat produksinya sendiri, Syamsul Yusof Films Sdn. Bhd. bersama Razors Edge Pictures.



Filem itu membariskan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Beto Kusyairy, Hairul Azreen, Shaheizy Sam dan Soffi Jikan.


Terdahulu, nama Syamsul menjadi panas selepas mengaku sudah bernikah dengan isteri kedua, Ira Kazar berwalikan bapa pengantin perempuan tersebut di Thailand, baru-baru ini.


Pergolakan rumah tangga Syamsul dan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana terus menjadi topik bicara sepanjang minggu lalu hingga kini. – UTUSAN

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)