Upah makin kurang, penghantar p-hailing sepakat lancar mogok esok

encik gotenks
0

Semua penghantar p-hailing dijangka melakukan boikot dengan tidak akan beroperasi selama 24 jam esok sebagai tanda tidak berpuas hati dengan syarikat penyedia perkhidmatan.

Perkara itu diakui oleh Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Zulhelmi Mansor yang memaklumkan, penghantar p-hailing akan boikot selama sehari esok.

Beliau berkata, walaupun bukan dianjurkan oleh persatuan, tetapi pihaknya bersolidariti bersama penghantar yang terbabit kerana apa yang menjadi ketidakpuasan hati mereka adalah isu sama yang sudah dibawa pihaknya namun tiada penyelesaian.

"Isu yang timbul terhadap penghantar p-hailing adalah isu berulang yang persatuan juga sudah bantu pertahankan sebelum ini.

"Ia termasuk isu kadar upah yang tidak menentu atau tidak tetap dan dimanipulasi syarikat serta isu tambang yang tidak setimpal dengan aplikasi yang menekan penghantar p-hailing.

"Mungkin dengan cara ini (memboikot) boleh memberi tekanan kepada syarikat penyedia perkhidmatan," katanya kepada BH hari ini.

Zulhelmi berkata, dia difahamkan tindakan itu sudah dirancang oleh penghantar p-hailing sejak dua hingga tiga minggu lalu namun hari ini ia mula tular.

Dia juga menjangkakan, hampir semua penghantar p-hailing akan mengambil tindakan memboikot.

"Apa yang persatuan dan penghantar p-hailing mahukan daripada tindakan yang dibuat ini adalah supaya syarikat penyedia perkhidmatan tidak memandang mudah dan peka dengan kebajikan penghantar.

"Selain itu, kita juga mahu kerajaan tahu dan ambil tindakan terhadap masalah dihadapi penghantar ketika ini.

"Saya yakin kerajaan sudah tahu masalah itu dan hingga kini tiada penyelesaian, selain terus berbincang saja," katanya.

Justeru, Zulhelmi berharap orang ramai memahami tindakan penghantar berkenaan jika esok tidak dapat menggunakan perkhidmatan disediakan.

"Saya harap pengguna faham dengan keadaan dan tujuan dilakukan penghantar kerana mereka hanya akan boikot sehari saja dan ia bertujuan untuk memberi tekanan kepada syarikat penyedia perkhidmatan," katanya.

Hari ini, tular di laman sosial, penghantar p-hailing terdiri daripada pelbagai syarikat penyedia perkhidmatan akan mengadakan boikot selama sehari esok.

Dalam poster yang tular di platform media sosial itu dengan perkataan 'Off 1 Hari' dan 'Food Delivery Blackout Jumaat 5 Ogos 2022' turut kelihatan adalah tanda pagar #mogok #24jamoff # naikkanfare #fpsembelihrider #grabsembelihrider #24hournoshift #off sehari.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Berita Harian

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)