Saya kalis kecaman, ianya tidak mendatangkan kudis kepada saya, kata Ifa Raziah

encik gotenks
0

Mungkin ramai tidak tahu bakat artis versatil, Ifa Raziah dicungkil TV3 melalui program realiti Asia Bagus pada 1992.

Malah, menerusi program terbitan TV3, Ifa atau nama sebenar, Saripah Raziah Mustapha diberi tanggungjawab menjadi pengacara.

Sehubungan itu, penyertaan Ifa dalam program terbaru, Terpaling Juara disifatkan ibarat 'sirih pulang ke gagang'.

Mengimbau sejarah silam, Ifa berkata, bakat sebagai pelakon dan pengacara dicungkil TV3, tiga dekad lalu.

"Tempat jatuh lagi dikenang, apatah lagi ini tempat bermula. Di TV3, bakat saya dicungkil sebagai pelakon dan pengacara.

"Karier seni saya bertapak menerusi program Asia Bagus pada 1992. Di situlah bermulanya Ifa Raziah. Saya juga pernah mengacarakan program Wanita Hari Ini (WHI).

"Ramai juga mungkin lupa saya pernah bersaing pada Separuh Akhir Muzik-Muzik, tetapi tidaklah sampai ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

"Atas kriteria itulah saya diundang menyertai program realiti, Terpaling Juara. Saya terima kerana di sinilah tempat permulaan saya," katanya pada sidang media program hiburan terbaru terbitan TV3, Terpaling Juara di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Bandar Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Terpaling Juara yang mula bersiaran Ahad ini, bakal menyaksikan penyanyi legenda berentap dengan bintang baharu di bawah bimbingan tiga pemenang AJL iaitu Akim Ahmad, Hael dan Naim Daniel untuk merebut gelaran Terpaling Juara.

Ifa mengakui teruja menjayakan program itu biarpun dia menjadi peserta di bawah bimbingan penyanyi lebih muda.

Malah, Ifa sudah sebati dengan kritikan dan kecaman netizen sebaik muncul di pentas Terpaling Juara. Sebelum menerima tawaran, Ifa sudah membuat persediaan mental dan fizikal.

"Saya kalis kecaman. Kalau tidak, tiadalah saya di sini (dunia hiburan) selama 27 tahun.

"Kecaman tidak mendatangkan kudis kepada saya. Sebenarnya, kecaman itu bagus untuk diri saya agar berpijak di bumi nyata.

"Kita kena ambil tahu dan dengar kecaman orang ramai. Semuanya untuk kita memperbaiki diri. Melalui kecaman, barulah kita tahu kelemahan diri.

"Jadi, kita boleh betulkan diri kita. Saya ambil kira kecaman atau teguran diberi," katanya.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Berita Harian

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)