Siapa tokoh pahlawan yang bakal difilemkan Syamsul Yusof selepas ini?

encik gotenks
0

Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof akan meneliti dulu senarai pahlawan-pahlawan tanah air yang bakal diangkat perjuangan kisah mereka ke layar perak selepas ini.

Syamsul, 38, berkata, kita sedia maklum ada ramai pahlawan Melayu yang berjuang untuk membebaskan tanah air daripada penjajah British dulu dan untuk mengangkat kisahnya, kita mencari yang terbaik.

"Semestinya saya nak hasilkan sebuah lagi filem epik yang memberi kesan, lebih mendalam serta impak kepada penonton juga masyarakat. Jadi, saya harus teliti sebab kita tahu di Malaysia ini ada ramai pahlawan yang berjasa.

"Oleh itu, saya nak tengok yang mana harus kita angkat. Iyalah, semuanya (pahlawan) harus diangkat, tapi saya perlu teliti terlebih dulu yang mana satu yang terbaik. Masih dalam penelitian, masih berfikir dan sedang berfikir yang mana yang terbaik," katanya kepada Harian Metro.

Baru-baru ini, Syamsul berjaya memecahkan rekod peribadinya menerusi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang berjaya mencatat kutipan RM90 juta di Malaysia selepas 33 hari ditayangkan mulai 23 Jun lalu.

Ia sekali gus menjadi filem 'box office' Malaysia tertinggi tempatan dan antarabangsa selepas Munafik 2 yang mencatat kutipan RM48 juta pada 2018 dan Avengers: Endgame (RM87 juta) pada 2019.

Pada 18 Julai lalu, Harian Metro melaporkan kerajaan negeri Terengganu sedia bekerjasama dengan Syamsul untuk pembikinan filem pahlawan Terengganu seperti Haji Abdul Rahman Limbong dan Tokku Paloh.

Syamsul berkata, dia bersyukur dan menyambut baik hasrat kerajaan negeri Terengganu yang berminat untuk memfilemkan mengenai pahlawan negeri berkenaan dengan memberi kerjasama kepadanya dan pasukan.

"Insya-Allah, mungkin akan dibincangkan dengan lanjut sebabnya terus-terang saya sudah semestinya nak menghasilkan sebuah lagi filem epik," katanya.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)