Rakyat Kelantan jauh lebih bahagia berbanding Selangor, pentadbiran negeri di landasan betul, kata Nik Amar

encik gotenks
0

Kedudukan Kelantan yang berada di tangga kelima berdasarkan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021 membuktikan rakyat di negeri itu berpuas hati dan bahagia dengan kehidupan mereka.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, markah MHI yang diperoleh Kelantan iaitu 7.0, jauh meninggalkan Selangor iaitu sebuah negeri yang jauh lebih maju.

"Kelantan termasuk antara negeri yang bahagia. Bahagia ini bermaksud rakyat puas hati, rakyat senang (hati) walaupun adalah masalah. Maka sebab itu kita masuk dalam indeks bahagia.

"Kita dapat skor 7.0 berbanding Selangor mendapat markah 5.0 iaitu jauh berbeza memandangkan negeri itu kaya, hasil bumi banyak, namun rakyatnya tidak bahagia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ceramah pasca sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Pengkalan Chepa, di sini, malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan, laporan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021 yang julung kali dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) meletakkan tahap bahagia Keluarga Malaysia pada skor 6.48 iaitu bahagia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, MHI 2021 itu dibuat berasaskan Survei Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021 yang dilaksanakan untuk mengukur tahap kebahagiaan rakyat Malaysia dari aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual.

Mohd Uzir berkata, tahap kebahagiaan rakyat Malaysia dikategorikan kepada lima skor iaitu nilai 0.00 - 2.00 sangat tidak bahagia; 2.01- 4.00 tidak bahagia; 4.01- 6.00 sederhana bahagia; 6.01 - 8.00 bahagia dan 8.01 - 10.00 sangat bahagia.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, rakyat Kelantan dinasihatkan supaya berfikir dengan baik dan tidak mengikut perasaan ketika ada pihak yang mahu menukar pentadbiran negeri itu.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Sinar Harian

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)