Header Ads

Orang ramai dinasihatkan buang gaya hidup, siap sedia ekonomi menjunam teruk,simpan RM400 mulai sekarang, kata wartawan veteran

Orang ramai diingatkan agar membuang gaya hidup dengan meningkatkan simpanan mulai sekarang sebagai persediaan berdepan dengan kemungkinan situasi ekonomi menjunam teruk tahun hadapan.

Seorang wartawan berpengalaman selama 25 tahun mulai 1994, Zainal Rashid Ahmad menyeru agar semua orang berjimat cermat dan berhati-hati susulan kenyataan bahawa lebih 60 peratus ketua pegawai eksekutif (CEO) menjangkakan ekonomi dunia menjunam tahun depan.

“Simpan RM400 mulai sekarang. Kalau hilang RM400 sewaktu ekonomi menjunam nanti, maka boleh simpan RM400 sekarang dengan membuang gaya hidup sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung.

“Fikirkan bahawa gaya hidup tidak akan memberi kita makan apabila tiba waktu susah untuk mendapat makanan nanti,” katanya menerusi saluran ZRA Strim di YouTube baru-baru ini.

Beliau yang juga penerima tujuh Hadiah Kewartawanan dan 42 anugerah sastera itu berpendapat, gaya hidup mungkin hanya akan membuatkan orang lain memberi rasa hormat.

“Namun, gaya hidup akan menjadikan saudara-saudara sangat-sangat stres apabila ekonomi menjunam.

“Saudara baru sedar bahawa saudara pernah membazirkan makanan kerana membayar gaya hidup,” katanya menerusi penstriman langsung itu.

Untuk rekod, China Global Television Network (CGTN) bulan lalu melaporkan lebih 60 peratus CEO di seluruh dunia meramalkan kemelesetan ekonomi dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

Sebahagian daripada CEO terbabit berpendapat wilayah di mana syarikat mereka beroperasi telah pun mengalami kemelesetan ekonomi.

Dalam masa sama, ahli perniagaan terkemuka termasuk CEO JPMorgan, Jamie Dimon dan pengasas Tesla (TSLA) Elon Musk turut menyatakan kebimbangan serta mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi krisis ekonomi dunia atau apa yang disebutkan mereka sebagai masa yang mencabar.

Musk dengan kekayaannya jatuh bawah AS$200 bilion(RM878.41 billion) pada Mei lalu pernah berkata pada 7 Jun bahawa dia mempunyai ‘rasa tidak sedap hati’ mengenai situasi ekonomi terkini.

Reaksi pengasas bersama syarikat pembuat kereta elektrik itu muncul pada minggu yang sama apabila Dimon meminta peserta persidangan perniagaan untuk bersiap sedia dengan ‘taufan ekonomi’.

Mimpi yang lunak

Mengulas lanjut, Zainal berkata, ramai tanpa sedar telah membelanjakan 60 peratus untuk gaya hidup iaitu bermula dari mana barang atau produk itu berasal dan bagaimana benda itu sampai ke tangan.

“Kalau bertahun hidup dengan berbelanja makanan beli di tempat yang 30 peratus harga lebih mahal, bayar pula 30 peratus untuk kos e-hailing, sehari saudara telah memperuntukkan 60 peratus perbelanjaan untuk gaya hidup.

“Jadi, jimatkan perkara ini supaya 60 peratus yang saudara peruntukkan untuk gaya hidup yang mungkin hari ini, boleh tunjuk pada orang, tapi akhirnya 60 peratus itu nanti apabila ekonomi merudum, itulah beras, susu, kos perubatan anak ketika kita mengalami kemerosotan ekonomi nanti,” jelasnya.

Dalam masa sama, mantan Naib Presiden Kanan Jualan Media di TV AlHijrah itu menasihatkan kepada golongan yang terlibat dalam membuat unjuran perniagaan agar tidak membuat unjuran berasaskan “mimpi”.

“Buat unjuran semula. Tiada mimpi yang lunak untuk tahun 2023,” tegasnya lagi.

Malaysia juga, katanya, dibimbangi amat terpukul dengan krisis ekonomi yang dijangka melanda dunia tahun hadapan memandangkan negara banyak mengimport bahan makanan.

“Kita masih mengimport 30 peratus beras dari luar negara. Kita masih pengimport gandum. Kita masih mengimport begitu banyak ikan. Kita masih pengimport daging.

“Malaysia mengimport 75 peratus daging. Kita juga mengimport 89 peratus daging kambing.

“Kebanyakan nelayan kita adalah nelayan pinggiran laut. Kita tidak ramai nelayan laut dalam. Import ikan mencapai RM10 bilion setahun kerana zaman Tun Daim tahun 1998 saja dulu RM2 bilion,” tambah Zainal lagi.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Malaysia Dateline

No comments:

Powered by Blogger.