Kerajaan akan kurangkan kuota minyak peket bersubsidi, kata Menteri

encik gotenks
0

Penafian : Gambar yang digunakan dalam artikel ini hanya sekadar hiasan semata-mata.

Kerajaan akan mengurangkan kuota subsidi minyak masak jika segelintir pengkhianat dalam kalangan pemain-pemain gergasi industri tersebut berterusan melakukan penyelewengan dan penyeludupan sehingga berlaku kekurangan bekalan di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberitahu Utusan Malaysia, sikap tamak penyeludup minyak masak bersubsidi yang menjualnya kepada pihak asing adalah pengkhianatan kepada negara dan menyusahkan rakyat.

Beliau berkata, sepatutnya jumlah minyak masak di pasaran mencukupi kerana kerajaan memperuntukkan kuota 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi sebulan, namun ketirisan akibat ‘pengkhianat negara’ yang tergamak menyeludup keluar komoditi itu mengakibatkan kekurangan bekalan.

“Sekiranya terdapat kekurangan bekalan dan selari usaha membendung risiko ketirisan, Kerajaan tidak menolak akan melaksanakan rombakan peruntukan kuota subsidi membabitkan peringkat tertentu dalam rantaian edaran minyak masak peket bersubsidi.

“60,000 tan metrik minyak masak setiap bulan dikeluarkan bagi kegunaan golongan sasar dan disubsidi kerajaan itu sudah dibuat pengiraan, mencukupi untuk kegunaan semua rakyat Malaysia di mana kerajaan me­nganggarkan kuantiti itu sangat mencukupi untuk 32.7 juta rak_yat Malaysia dengan kadar penggunaan 1.8kg per kapita, setiap bulan.

“Kadar penggunaan minyak masak di kalangan rakyat adalah sebanyak 55,000 sebulan dan kerajaan memperuntukkan 60,000 metrik tan. Sepatutnya mencukupi, malah ada lebihan.

“Namun, disebabkan ketamakan pihak tidak bertanggungjawab yang mengkhianati negara dengan melakukan aktiviti penyeludupan, berlaku ketirisan dan kekurangan bekalan akibat aktiviti penyeludupan yang telah menyusahkan rak­yat walaupun pelbagai bantuan dan program subsidi disediakan oleh kerajaan,” katanya di sini.

Beliau berkata, faktor utama mendorong penyeludup ‘gelap mata’ sehingga tergamak menjual komoditi itu kepada pasaran asing, susulan kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO) yang semakin melonjak.

“Semakin tinggi nilai CPO, semakin tinggi harga minyak masak di pasaran dan semakin tinggi margin keuntungan yang mendorong pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan. Pembukaan sempadan juga telah mendorong aktiviti penyeludupan untuk berleluasa,” katanya.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Utusan Online

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)