Isteri berhenti merungut, hanya bermodalkan cacing suami bawa balik RM30,000

encik gotenks
0

Rungutan isteri kerana suami kerap keluar memancing reda apabila lelaki itu memenangi hadiah utama bernilai RM30,000 pada Pertandingan Memancing Sempena Hari Belia di Tasik Taman Rekreasi Durian Daun, di sini, hari ini.

Jika sebelum ini Nordiana Arshad, 38, sering merungut berikutan Mohd Khairul Ibrahim, 39, jarang berada di rumah termasuk pada hujung minggu, namun hari ini dia tersenyum riang berkongsi kegembiraan dengan suami.

Ikan keli seberat 5.23 kilogram (kg) yang dinaikkan suami pada jam 9.25 pagi membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM30,000 yang dianugerahkan penganjur pertandingan itu.

Nordiana berkata, dia sering mengingatkan suami supaya tidak kerap keluar memancing di beberapa kolam pancing sekitar daerah ini tetapi minat mendalam suami terhadap aktiviti itu menyebabkan dia jarang berada di rumah.

"Kadang-kadang saya marah juga suami selalu keluar memancing tetapi apakan daya, sudah minat dia begitu dan hari ini minat suami terbayar dengan kemenangan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

Pada majlis itu, temoat kedua dimenangi Syamsul Ahmad, 38, dengan membawa pulang RM5,000 dan tempat ketiga dimenangi Md Rafizi Senin, 51, dengan wang tunai RM3,000.

Hadiah disampaikan Pengarah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Melaka, Khairul Adri Rosli.

Pertandingan disertai 800 peserta itu dianjurkan bersama KBS, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan (JAPERUN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dan Ajib Fishing sempena sambutan Hari Belia Negara Peringkat Daerah Alor Gajah.

Mohd Khairul berkata, kemenangan itu adalah yang pertama selepas beberapa kali menyertai pertandingan memancing di negeri ini.

"Saya selalu memancing di kolam pancing dan menyertai banyak pertandingan tetapi setakat menang hamper cabutan bertuah.

"Alhamdulillah, hari ini Allah murahkan rezeki saya dan ia adalah satu-satunya ikan yang berjaya saya naikkan dalam pertandingan ini," katanya.

Dengan menggunakan cacing, Mohd Khairul merasakan tarikan pada tali tangsi dan mata kailnya pada jam 9.20 pagi tadi, katanya.

Selepas bermain-main dengan joran bagi melemahkan ikan, dia akhirnya berjaya menaikkan keli lima minit kemudian tetapi tidak menyangka ia adalah ikan paling berat dalam pertandingan itu.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)