"Ramai tak percaya saya jual murtabak daging dan ayam hanya RM2.50 sekeping sejak 2017 berbanding peniaga lain kini menjual pada harga RM5 hingga RM7 sekeping."
Begitu kata peniaga murtabak, Nur Fatihah Md Kamil, 30, berhubung harga jualan makanan popular berkenaan di gerainya di Kampung Aur Gading, di sini.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu memilih untuk mengekalkan harga jualan tahun ini walaupun berdepan tekanan kenaikan harga barangan.
Nur Fatihah berkata, dia belum terfikir untuk menaikkan harga menu popular berkenaan walaupun kos bahan mentah semakin meningkat.
Menurutnya, walaupun dua tahun tidak berniaga kerana wbak C0vid-19, harga murtabak daging dan ayam jualannya sejak lima tahun lalu masih kekal.
"Saya tidak sampai hati menaikkan harga, malah harga RM2.50 sekeping ini pun saya rasa masih mahal apabila memikirkan orang kurang berkemampuan, ramai anak mesti rasa terbeban.
"Murtabak yang saya jual adalah hasil resipi ibu dan dijual khusus untuk Ramadan manakala pada bulan lain, selain murtabak, saya turut menjual roti canai berharga 50 sen sahaja sekeping," katanya.
Ibu kepada dua anak itu berkata, dia mempelajari kemahiran menebar murtabak dan roti canai daripada bapanya, Md Kamil Abdullah yang juga berniaga di Pasir Putih, Kelantan sejak 20 tahun lalu.
Menurutnya, dia mahu meneruskan legasi keluarga dalam perniagaan itu di lokasi lain menyebabkannya membawa resipi itu ke KampungAur Gading, di sini.
Katanya, walaupun mempunyai kelulusan di menara gading, dia tidak berminat lagi untuk bekerja makan gaji sebaliknya ingin menumpukan dalam bidang perniagaan.
"Setiap hari sebanyak 300 keping murtabak terjual dengan dibantu suami Mohd Fauzan Borhan, 37.
"Saya bersyukur kerana suami pun berpandangan sama dan setuju untuk menjual dengan harga itu walaupun mendapat keuntungan yang sedikit.
"Insya-Allah, kami ingin berniaga sambil beramal, di mana dalam masa yang sama terfikir untuk memberi orang yang susah dan anak ramai turut merasai murtabak ini," katanya.
Sumber : Harian Metro