Sukar kawal harga makanan sudah dimasak, kata Ismail Sabri

encik gotenks
0

 


Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui buat masa ini belum ada garis panduan untuk mengawal harga makanan yang sudah dimasak.


Perdana Menteri berkata, agak sukar untuk mengawal harga makanan yang sudah dimasak berbanding barangan mentah yang dikawal oleh kerajaan.


"Buat masa ini kita belum ada garis panduan (bagi makanan yang sudah dimasak), tetapi kita serahkan perkara ini kepada KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna).


"(Harga) ayam kalau di pasar kita boleh kawal, namun jika sudah dimasak dan (peniaga) kata itu resipi lapan keturunan atau datuk dan neneknya, itu sebab harganya mahal jadi agak sukar untuk kita kawal harga barangan bermasak.



"Seperti yang Datuk Alex (Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi) cakap semalam. jika pihaknya lihat harga yang diletakkan terlalu tinggi atau melampau, mungkin kementerian akan menasihatkan mereka atau mengambil tindakan.



"Ini di bawah bidang kuasa KPDNHEP, yang penting adalah pengguna tidak ditekan daripada segi harga," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Bazar Ramadan Putrajaya Presint 3, di sini.


Ismail Sabri tiba di bazar berkenaan kira-kira jam 5 petang tadi dan menghabiskan masa kira-kira satu jam dan membeli pelbagai makanan.


Dalam pada itu, mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar berkenaan, Ismail Sabri berkata kesemua pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu memakai pelitup muka.



"Mulai 1 April lalu, kita sudah tidak wajibkan daripada segi penjarakan fizikal, bagaimanapun kita masih perlu membuat kawalan kendiri bagi mengurangkan jangkitan Covid-19.


"Kita perlu lindungi diri, kalau nampak tempat itu terlampau sesak kita tidak perlu pergi, bila keadaan sudah beransur elok barulah pergi.


"Saya juga nampak banyak ibu bapa yang membawa kanak-kanak ke bazar, saya nasihatkan mereka untuk berhati-hati, pakai pelitup muka dan elakkan tempat sesak, kerana kesihatan kita adalah tanggungjawab kita," katanya.


Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)