Siar azan awal: Puasa terbatal, wajib ganti, kata Mufti Sabah

encik gotenks
0

 


Puasa terbatal dan wajib ganti selepas Ramadan berakhir.


Itu penjelasan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berhubung isu seorang penyampai stesen radio tempatan yang tampil memohon maaf atas kesilapan teknikal menyiarkan azan Maghrib empat minit lebih awal di Tawau semalam.


Bungsu berkata, waktu berbuka puasa adalah bersandarkan kepada terbenamnya matahari berdasarkan nas syarak dan bukannya bersandarkan kepada laungan azan di radio atau seumpamanya serta keadaan langit pada ketika itu.



"Pada dasarnya, di sisi syarak, puasa bagi mereka yang berbuka puasa awal daripada waktu sebenar kerana mengikut azan di radio adalah dikira terbatal dan wajib ke atas mereka menggantikan puasa mereka itu setelah berakhirnya Ramadan.


"Usaha pihak radio menyiarkan azan sebagai tanda masuk waktu dan berbuka adalah usaha murni yang sangat baik.


"Namun, pihak radio perlulah lebih teliti dan cermat dalam perkara ini bagi mengelakkan daripada berulang perbuatan menyiarkan azan awal dari waktunya pada masa akan datang," katanya.



Sementara itu, Bungsu juga turut menyeru umat Islam di Sabah agar sentiasa cermat dan berhati-hati dengan perkara berkaitan waktu berbuka puasa.


"Sehubungan itu, umat Islam disarankan merujuk kepada takwim berbuka puasa yang dikeluarkan pihak berkuasa.


"Ini bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang," katanya.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)