Cuepacs rayu identiti penjawat awam dituduh rasuah tak didedahkan, kata Abdul Rahman Mohd Nordin

encik gotenks
0

 


Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta identiti ahlinya yang berdepan pertuduhan rasuah tidak didedahkan kepada umum selagi mereka belum disabitkan kesalahan.


Setiausaha Agungnya, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, pihaknya berpendapat pendedahan identiti individu belum disabitkan hanya akan mencemarkan imej dia dan keluarganya selain menyebabkan mereka mengalami tekanan.


"Saya nak komen sikit, mereka yang dituduh itu tak payahlah kita hebahkan identitinya sebab kadang-kadang boleh buatkan dia (tertuduh) rasa tertekan terutama imejnya, maruahnya dan keluarga kerana dia masih belum dihukum bersalah.



"Dalam kes yang tak mengaku bersalah, ia akan makan sampai lima hingga enam tahun nak berdepan dengan masyarakat.


"Jadi kalau boleh dielakkan disebarkan identiti penjawat awam yang dituduh sebelum dijatuhi hukuman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Seminar Memahami Keperluan Dan Cabaran Penjawat Awam Dalam Persekitaran Norma Baharu Anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Banda Hilir di sini hari ini.


Hadir sama, Yang Dipertua Kesatuan Kakitangan MIDA, Abdul Rashid Abdullah.


Sementara itu, ditanya mengenai senario kes rasuah dalam kalangan 1.6 juta ahlinya di seluruh negara, Abdul Rahman berkata, kesatuan melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes yang menjejaskan imej negara.



"Masalah ini (rasuah) bukan sahaja di bawah (gred bawahan) tetapi di atas (pegawai atasan) pun ada juga yang terbabit dan ini akan merosakkan imej negara. Kita memang bimbang bila nampak peningkatan rasuah itu," katanya.


Sementara itu, Abdul Rashid berkata, seminar itu bertujuan untuk berkongsi pengetahuan kepada kakitangan awam khususnya kakitangan MIDA berkaitan cabaran dalam norma baharu.


"Dengan seminar diharapkan penjawat awam tahu apa tanggungjawab mereka dan apa perlu dilakukan dalam norma baharu.


"Selepas seminar kita akan bertemu CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) MIDA bagi membincangkan apa kebaikan yang boleh dilaksanakan untuk kakitangan," katanya sambil memaklumkan 32 kakitangan MIDA terbabit seminar dua hari itu.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)