Kerajaan perlu benarkan pengeluaran KWSP RM10,000, kata Ketua Pemuda Umno

encik gotenks
0

 


Penafian : Sekadar gambar hiasan semata-mata

Pengeluaran RM10,000 secara 'one off' seharusnya tidak menjadi masalah jika benar khabar angin Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan dividen kira-kira 5.2 peratus hingga enam peratus bagi 2021.


Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengeluaran RM10,000 itu wajar dipertimbangkan kerana tidak akan menjejaskan simpanan masa depan pencarum serta pelaburan KWSP sendiri.


"Saya kira wajar KWSP dan kerajaan pertimbangan secara serius kerana dulu mereka memberikan alasan pengeluaran RM10,000 'one off' ini menjejaskan prestasi dividen pencarum tetapi apa yang kita dapat lihat pelaburan KWSP tidak terjejas pun.


"Saya sendiri menjangkakan kalau pengeluaran kali terakhir ini dibuat, implikasinya hanya antara RM25 ke RM30 bilion saja berbanding aset KWSP yang hampir 1 Trilion dan sudah pasti tidak akan menjejaskan pasaran modal kalau itu yang diuar-uarkan sebelum ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas jangkaan pakar ekonomi bahawa KWSP akan mengumumkan dividen lebih menarik bagi 2021 iaitu sekitar 5.2 peratus hingga enam peratus selepas peningkatan pendapatan pelaburan kasar dana berkenaan serta prestasi pasaran modal yang positif.



Mengulas lanjut katanya, pihaknya akan terus konsisten memperjuangkan pengeluaran RM10,000 KWSP secara 'one off' itu bagi memastikan pencarum terutama yang terjejas pandemlk C0vid-19 dapat meneruskan kelangsungan hidup.


"Saya juga ada menyampaikan mesej mengenai hal ini kepada Menteri Kewangan supaya beliau mempertimbangkan.


"Kami juga tidak putus asa akan terus mendesak dan menuntut pengeluaran ini, supaya kerajaan mendengar rintihan rakyat yang hakikatnya sedang susah berhadapan komitmen hutang tertunggak dan bergelut meneruskan kelangsungan hidup mereka.


"Pengeluaran kali terakhir ini wajar kerana Sesyen 54 Akta KWSP di bawah sub-sesyen 54 (k), 54(l) dan 54(m) menyebut pengeluaran KWSP boleh dibenarkan untuk kelangsungan hidup jika pencarum menghadapi masalah seperti terjejas C0vid-19 ini," katanya.


Beliau berkata, pengeluaran itu perlu dipertimbangkan berikutan kebanyakan golongan terjejas terdiri daripada mereka yang bekerja sendiri, swasta, tiada pendapatan tetap hingga terpaksa bergantung kepada pendapatan pasangan, simpanan dan jalan terakhir berhutang.


"Contohnya, saya ke Sabah baru-baru ini ramai pramugara beritahu jadual penerbangan tidak menentu dan mereka baru saja memulakan tugas bila penerbangan dibuka semula rata-ratanya terpaksa berhutang along dan bank sebab itu sekarang mereka perlukan wang mereka sendiri.



"Mereka ini rata-ratanya mempunyai wang melebihi RM100,000 dalam akaun KWSP masing-masing dan ini seiring dengan maklumat KWSP tentang 6.83 juta pencarum ada simpanan lebih RM10,000.


"Kita tidak mahu asyik ulang-ulang cakap 45 peratus kurang RM10,000, macam mana pula dengan 55 peratus lagi yang memerlukan wang pada masa ini? Jadi, kita jangan hanya berbicara masa depan kalau jaminan kehidupan sekarang pun masih dalam tanda tanya besar," katanya.


Untuk rekod, sepanjang tempoh sembilan bulan pertama 2021, pendapatan pelaburan kasar KWSP meningkat sebanyak 7.7 peratus kepada RM48.02 bilion berbanding tempoh sama pada 2020.


Pada 2020, dana persaraan itu mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.2 peratus yang membabitkan agihan sebanyak RM42.88 bilion bagi Simpanan Konvensional dan 4.9 peratus bagi Simpanan Syariah yang berjumlah RM4.76 bilion.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)