Banyak syarikat, majikan tidak setuju kenaikan gaji minimum RM1500, kata PM

encik gotenks
0

 


Perdana Menteri mendedahkan banyak syarikat dan juga majikan tidak bersetuju dengan kadar gaji minimum sekitar RM1,500.


Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini kerajaan melaksanakan perbincangan dengan semua majikan untuk penetapan kadar gaji minimum yang baharu pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.


"Sebab ada syarikat yang mampu, ada syarikat kecil tak mampu.


"Kita takut kalau dia tak mampu nanti dia akan retrench (buang) pekerja dia dan menambahkan jumlah pengangguran dalam negara," katanya kepada media, hari ini.



Beliau ditemui selepas merasmikan Inisiatif Jamin Kerja dan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.


Beliau berkata, ketika ini kerajaan meminta Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengadakan perbincangan dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan persatuan berkaitan termasuk majikan.


"Jadi sebelum kita umumkan biar ada penerimaan daripada majikan. Kita tidak melindungi majikan tetapi kepentingan kita adalah pekerja.


"Kalau pekerja dapat dinaikkan gaji minimum kepada RM1,500 memang itu yang terbaik," katanya.


Ditanya adakah kerajaan akan menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji minimum itu, Ismail Sabri berkata, KSM sudah memaklumkan kepada kabinet mengenai cadangan itu.


"Tetapi kita minta supaya KSM bincang secara terperinci terlebih dulu, apabila dah bentang dalam kabinet, tunggu masa untuk kita luluskan saja. Insya-Allah, kerajaan prihatin dengan kos sara hidup hari ini yang mungkin memerlukan peningkatan (gaji).


"Tetapi, kita tidak mahu juga dengan peningkatan (gaji) itu, syarikat kecil dan sederhana (SME), makro dan sederhana tidak mampu (membayar) akhirnya buang pekerja. Tujuan kita untuk membantu pekerja akhirnya tiada penyelesaian kerana ramai dibuang kerja akibat majikan tidak mampu bayar gaji," katanya.



Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mempertimbangkan kepentingan semua pihak termasuk pekerja dan dalam masa sama mendengar pandangan daripada majikan juga.


Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan mendedahkan negara ini dijangka menikmati penetapan kadar gaji minimum yang baharu pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.


Walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan, beliau positif perkara itu boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.


Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet 2020.


Berdasarkan Perintah Gaji Minimum 2020, Seksyen 23 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732), menyatakan kadar gaji minimum perlu dibayar kepada pekerja dalam mana-mana kawasan Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran adalah sebanyak RM1,200 sebulan, RM46.15 sehari (enam hari bekerja dalam seminggu), RM55.38 sehari (lima hari) dan RM69.23 sehari (empat hari), manakala bayaran setiap jam adalah RM5.77.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)