Ali Puteh dah sedia jiwa dan raga hadap apa saja kecaman netizen

encik gotenks
0

 


Pelawak Ali Puteh bersedia menghadapi sebarang kecaman daripada netizen selepas diperintahkan membayar ganti rugi am RM60,000 kepada kakak iparnya, Siti Norhidayah Mohd Ali kerana memfitnah dalam laman sosial Instagram, dua tahun lalu.


Ali berkata, dia tiada masalah untuk berdepan dengan netizen yang akan menghentam atau mencemuhnya di laman sosial. 


"Dalam dua tahun ini, saya sudah bersedia menghadapi apa saja kecaman. Saya sudah maklumkan kepada keluarga, menang pun kita kena (hentam), kalah pun kita kena. 


"Jadi, saya tiada masalah dengan netizen sebab kita tahu apa yang kita lakukan dan apa sebenarnya yang terjadi," katanya. 


Menurut Ali, dia tidak akan menggunakan platform media sosial untuk membuat sebarang luahan atau ketidakpuasan hati kerana bimbang akan mengganggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi. 


"Kalau saya kongsikan apa-apa lagi di media sosial, saya bimbang akan berlaku masalah di Mahkamah Tinggi. 


"Tentang netizen, saya memang tak risau apa-apa pun," katanya. 


Terdahulu, Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi berikutan terdapat beberapa fakta yang didakwa tidak tepat selepas keputusan kes saman fitnah diputuskan hakim, Zulqarnain Hassan semalam. 



Pada Mei 2020, Hidayah, 30, memfailkan saman fitnah terhadap Ali Puteh, 34, berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu di akaun Instagram yang antara lain menggambarkan dirinya seorang tidak bertanggungjawab.


Wanita terbabit memohon ganti rugi am, teladan atau punitif dan teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya.


Dia juga memohon satu perintah injunksi bagi menghalang adik iparnya menyiarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya, kod dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.


Sementara itu dalam prosiding sama, mahkamah menolak saman fitnah yang dikemukakan Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya yang lain terhadap Hidayah dan usahawan kosmetik Datuk Aliff Syukri dengan kos sebanyak RM13,000.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)