Ahli parlimen PN giat usaha gerakkan angkat Ismail Sabri sebagai calon PM baru

Anonymous
0

 


Surat akuan sedang dikumpul dalam kalangan ahli-ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) untuk menyokong Naib Presiden Umno Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri baru gabungan itu.


Ahli parlimen Padang Rengas dari Umno, Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan dia antara yang menandatangani dokumen bagi menyokong Ismail untuk mengambil alih jawatan perdana menteri.


“Kita tunggu dan lihat, saya sudah tandatangan akuan bersumpah untuk Ismail Sabri.


“Saya akan sokong apa-apa sahaja yang diputuskan oleh Ismail untuk kami ahli-ahli parlimen melakukan langkah seterusnya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.


Muhyiddin Yassin dilaporkan telah menyatakan kepada pemimpin partinya dan rakan gabungan berhubung hasrat untuk letak jawatan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.


Setelah Muhyiddin meletakkan jawatan, Agong dijangka mencari calon perdana menteri baru yang dipercayainya mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen.


Muhyiddin kehilangan majoriti setelah 15 daripada 18 ahli parlimen Umno diketuai presiden Ahmad Zahid Hamidi menarik balik sokongan terhadapnya selaku perdana menteri.



Ahli parlimen Pagoh itu mempunyai sokongan 100 ahli parlimen, kurang 11 untuk mencapai majoriti. Kini terdapat 220 ahli parlimen di Dewan Rakyat dengan dua kerusi kosong.


Ikhtiar terakhirnya untuk membentuk perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) dengan pihak pembangkang tidak berjaya.


Kem Zahid diminta kembali sokong PN


Pemilihan Ismail selaku calon perdana menteri dijangka memberi tekanan buat Zahid.


Langkah itu melemahkan hujah Zahid bahawa Umno wajar mengambil alih kepemimpinan kerajaan, tetapi pada masa sama menghalangnya daripada meletakkan calon perdana menteri daripada kemnya sendiri.


Ismail memerlukan sokongan 11 daripada 15 ahli parlimen Umno yang menarik sokongan mereka kepada Muhyiddin bagi mendapatkan majoriti - meskipun ia bukanlah majoriti yang selesa.


Ini berdasarkan anggapan bahawa semua ahli parlimen kerajaan sedia ada yang sebelum ini menyokong Muhyiddin akan menyokong Ismail.


Ahli parlimen di kem Ismail sudah pun mengutarakan naratif ini, dengan menggesa 15 ahli parlimen Umno untuk kembali kepada PN yang bakal diketuai Ismail.


Nazri berkata lagi, kem Zahid “tidak ada alasan untuk tidak menyokong” pencalonan Ismail.


“Sekarang dengan berundurnya Muhyiddin, tak ada sebab mengapa kita perlu berpecah kerana semua orang sokong kerajaan PN," katanya.


Nazri berkata dia menandatangani sokongan bertulisnya terhadap Ismail setelah didekati oleh naib presiden Umno itu sendiri, tetapi tidak pasti berapa orang ahli parlimen yang sudah mengisytiharkan sokongan yang sama.


Sementara itu, satu kenyataan media mengandungi lambang PN mengisytiharkan Ismail sebagai calon perdana menteri dan Azmin Ali dari Bersatu selaku timbalannya, beredar di media sosial.


Bagaimanapun, pegawai kanan kepada setiausaha agung Bersatu Hamzah Zainuddin berkata kenyataan itu adalah palsu.


Ditanya apakah mereka ada calon khusus untuk jawatan timbalan perdana menteri, Nazri berkata hal itu terpulang kepada Ismail.


“Kami akan sokong sesiapa pun yang (bakal) perdana menteri lantik sebagai timbalan perdana menteri,” katanya.


Sumber : Malaysiakini

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)