Indonesia merancang untuk mengeksport jururawat mereka ke Malaysia susulan perkembangan pembangunan hospital swasta di negara ini.
Menurut Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Mohammad Iman Hascarya Kusumo, cadangan tersebut masih dalam peringkat awal perbincangan antara kedua-dua pihak.
Jelas Mohammad Iman, libat urus secara rasmi antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) akan dipercepatkan dalam masa terdekat bagi menampung kekosongan jururawat di hospital swasta negara ini.
"Ada permintaan jururawat Indonesia ke Malaysia. Bagaimanapun, belum ada perbincangan atau libat urus G2G antara kedua-dua negara. Setakat ini lebih kepada perbincangan tidak rasmi saja.
"Kita berhasrat untuk memulakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana perlu pastikan jururawat kami mengikut dan mematuhi peraturan ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.
"Lembaga Jururawat Indonesia juga diminta untuk berbincang dengan rakan sejawat mereka di Malaysia mengenai hal ini. Apa yang kita mahu adalah untuk memastikan jururawat kami di tahap profesional kerana kerja seperti ini bukan 'non skill labour' (tenaga kerja tidak mahir),” katanya.
Difahamkan, Johor antara negeri yang memerlukan tenaga jururawat yang tinggi dari Indonesia untuk berkhidmat di hospital swasta, lapor Berita Harian.
Sekiranya cadangan itu diluluskan, kumpulan pertama dijangka membabitkan lebih 100 jururawat bagi memenuhi keperluan hospital swasta di Malaysia.
Tambah Mohammad Iman, permintaan itu didorong oleh perkembangan pesat industri pelancongan perubatan dalam kalangan warga Indonesia.
"Permintaan jururawat dari Indonesia disebabkan pelancongan perubatan. Ramai pesakit dari Indonesia datang ke Malaysia," katanya.
✍🏻: Hazwani
🎨: Ulya
🔎: Faez
⬆️: Naili
