Tahap simpanan ahli KWSP sangat rendah dan membimbangkan, kata Timbalan Menteri Kewangan 1

encik gotenks
0

Tahap simpanan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah rendah dan sangat membimbangkan terutama selepas pelaksanaan empat kemudahan pengeluaran berkaitan Covid-19 iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra serta Pengeluaran Khas.

Selain itu, pengurangan kadar caruman berkanun syer pekerja bagi tempoh 27 bulan (April 2020 sehingga Jun 2022) turut memberi kesan kepada jumlah caruman.

Secara keseluruhannya, impak pengeluaran ini dianggarkan sebanyak RM155 bilion iaitu RM145 bilion amaun yang dikeluarkan oleh ahli di bawah keempat-empat program pengeluaran dan hampir RM10 bilion impak daripada program pengurangan kadar caruman berkanun syer pekerja.

Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, KWSP menyediakan pelbagai saluran untuk memudahkan ahli mencarum dalam usaha membantu ahli menambah dan membina kembali simpanan persaraan mereka.

"Bagi ahli yang bekerja dan mempunyai majikan, mereka boleh memilih untuk mencarum melebihi kadar caruman berkanun syer pekerja iaitu 11 peratus pada bila-bila masa.

"Selain itu, mereka juga boleh mencarum sendiri pada bila-bila masa tertakluk kepada amaun maksimum RM60,000 setahun.

"Bagi ahli yang bekerja sendiri, tiada pendapatan tetap atau di luar tenaga buruh seperti pelajar dan suri rumah yang berumur di bawah 60 tahun turut boleh memilih untuk mencarum secara sukarela pada bila-bila masa mengikut kemampuan di bawah Program i-Saraan dengan jumlah sehingga RM60,000 setahun.

"Sebagai insentif menggalakkan golongan ini menyimpan di bawah i-Saraan, kerajaan memberikan sumbangan sebanyak 15 peratus daripada jumlah caruman, atau sehingga RM250 setahun," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara, semalam.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Razali Idris mengenai ahli KWSP yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dan RM1,000.

Selain itu, menurutnya, bagi Ketua Isi Rumah (KIR) atau isteri kepada KIR yang berumur di bawah 55 dan berdaftar di bawah pengkalan data eKasih, mereka boleh mencarum secara sukarela di bawah Program Kasih Suri Keluarga Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai Program i-Suri) yang diperkenal bagi menggalakkan wanita daripada isi rumah berpendapatan rendah menyimpan demi hari tua mereka.

"Di bawah program ini, ahli yang mencarum sekurang-kurangnya RM5 sebulan atau RM60 setahun adalah layak untuk menerima insentif daripada kerajaan sebanyak RM40 sebulan atau RM480 setahun ke dalam akaun KWSP mereka," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, setakat 30 Jun 2022, seramai 6.62 juta ahli atau 52 peratus daripada 12.78 juta keseluruhan ahli KWSP berumur di bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

"Daripada bilangan itu, 4.99 juta ahli atau 75 peratus adalah ahli Bumiputera.

"Pada masa sama, terdapat 3.2 juta ahli berumur bawah 55 tahun yang mempunyai tahap simpanan amat kritikal iaitu kurang RM1,000 di mana 2.58 juta ahli atau 81 peratus daripada mereka adalah ahli Bumiputera.

"Sebagai perbandingan relatif, jumlah ahli Bumiputera iaitu 8.22 juta orang mewakili 64 peratus daripada 12.78 juta keseluruhan ahli KWSP yang berumur di bawah 55 tahun.

"Ini menunjukkan kebanyakan ahli Bumiputera tertumpu dalam kalangan ahli yang mempunyai tahap simpanan KWSP rendah berbanding kaum-kaum lain," katanya.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)