Masih jadi misteri, Milik siapakah kapal layar berharga lebih RM200 juta itu?

encik gotenks
0

Kehadiran sebuah kapal layar mewah jenis Adastra di muara Sungai Perlis, Kuala Perlis berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis, di sini semalam ternyata menggamit perhatian orang ramai terutama nelayan serta penduduk kampung yang terletak di pesisiran Sungai Perlis di Kuala Perlis, di sini.

Kapal layar atau 'super yacht' yang berharga sekitar USD45 juta (lebih RM200 juta) itu dipercayai tiba dari Langkawi dan disedari penduduk sekitar lembangan Sungai Perlis itu sekitar jam 12 tengah hari.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Perlis (PELARIS) Jasmi Hashim, berkata pihaknya ada diberitahu nelayan serta penduduk sekitar muara Sungai Perlis akan kehadiran dan pergerakan kapal layar mewah itu.

"Kita bagaimanapun tidak menerima sebarang aduan daripada nelayan mengenai gangguan dari segi lalu lintas bot nelayan di muara sungai itu.

"Malah, kita juga difahamkan kapal layar mewah itu sebenarnya bergerak menuju ke dermaga Perlis Marine Engineering (PME) Sdn Bhd yang terletak di Kampung Tengah Kuala Perlis bagi tujuan pembaikan kapal layar," katanya.

Seorang nelayan, Mat Che Ya, 53 pula berkata, walaupun banyak kapal yang bersaiz sederhana melalui muara sungai itu, namun kapal layar mewah yang canggih itu jarang sekali dapat dilihat di kawasan itu.

"Banyak kapal lalu sini cuma saiz tidaklah besar tapi kapal layar yang semalam itu jarang lalu di sini.

"Jadi bila kapal layar itu lalu di sini nampak macam kapal angkasa atas air pula kerana tak nampak macam kapal atau bot yang kita biasa lihat," katanya.

Tular di media sosial hari ini mengenai kehadiran kapal layar mewah berkenaan yang dilihat sedang berlabuh di tengah muara Sungai Perlis.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, pihaknya tidak dimaklumkan tentang kehadiran kapal layar mewah itu di muara Sungai Perlis.

"Kita tidak dimaklumkan mengenai kehadiran kapal layar mewah itu di kawasan ini.

"Namun, apa yang dimaklumkan oleh anggota kita yang melakukan rondaan di sekitar perairan Perlis adalah pihak kapal layar mewah itu sudah mendapat kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia menerusi Pejabat Laut Negeri Perlis untuk melalui muara sungai itu dan berlabuh di PME Engineering Sdn Bhd," katanya.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)