Header Ads

Saya pun nak juga merasa box office, kata Raja Azmi

Penerbit filem Raja Azmi, 62, menyimpan impian untuk 'merasa' filem terbitannya, Jerangkung Dalam Almari akan berjaya mencatat kutipan pecah panggung seperti filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dengan adanya pembabitan pelakon Datuk Adi Putra dalam karya itu.

Raja Azmi dihubungi berkata walaupun dia pasrah dan reda dengan jumlah kutipan yang bakal dikutip nanti, tapi jauh di sudut hatinya hanya mampu berdoa agar Jerangkung Dalam Almari yang bergenre seram mendapat sambutan baik penonton.

"Saya harap ada rezekilah untuk filem saya, Jerangkung Dalam Almari dapat mengutip kutipan 'box office' apabila ditayangkan di pawagam tanah air mulai 4 Ogos depan. Apatah lagi, adanya pembabitan pelakon utama seperti Adi Putra.

"Semoga dapatlah juga filem ini (Jerangkung Dalam Almari) mencipta kejayaan yang baik di pawagam nanti. Walaupun tidak sehebat penangan Mat Kilau, namun saya teringin juga nak merasa filem saya meraih kutipan 'box office'," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya pula sebesar apa debarannya menantikan filem Jerangkung Dalam Almari itu masuk ke panggung wayang, Raja Azmi berkata, dia tidak berdebar langsung kerana sudah pasrah dan reda.

"Saya tak ada rasa berdebar pun menantikan filem ini masuk ke panggung wayang. Perasaan saya, biasa saja sebab dah pasrah dengan apa yang akan berlaku nanti kerana yang pasti perjuangan saya untuk terus buat filem takkan pernah putus.

"Bagi saya, menghasilkan filem adalah satu kepuasan pada diri. Jadi, saya tak nak rasa debar itu mengganggu jangka hayat hidup ini. Lagi pula, saya dah lekatkan dalam hati kalau 'box office' okey lah, tapi kalau tak dapat pun tak apa," katanya.

‌Menurut Raja Azmi, apa yang dilakukannya tanpa henti sekarang adalah berdoa kepada Allah SWT.

Katanya, dengan doa-doa yang dipanjatkan selalu itu amat meyakinkan dirinya selain berpuas hati dengan barisan pelakon yang dipilih.

"Selain Adi Putra, saya juga berbesar hati dengan karisma dimiliki heroin filem Jerangkung Dalam Almari iaitu Sophia Albarakbah yang kini semakin dikenali ramai dan lakonannya juga mendapat perhatian pihak stesen TV serta industri hiburan.

"Insya-Allah, selain jalan cerita yang menarik serta mantap, saya pertaruhkan juga kekuatan barisan pelakon yang berkaliber dan betul-betul akan membantu filem ini untuk menambat hati penonton," katanya.

Filem Jerangkung Dalam Almari yang skrip ditulis Shadan Hashim juga bertindak sebagai pengarah membariskan pelakon lain seperti Hasnul Rahmat, Wan Hanafi Su, Anne Abdullah, Zaidi Omar dan Amerul Affendi.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.