Header Ads

Kena terima hakikat apa berlaku dalam sejarah, takkan saya nak letak askar Melayu atau Inggeris, kata Produksi Studio Kembara

Produksi Studio Kembara yang menerbitkan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mengesahkan tiada keperluan buat masa ini untuk berjumpa wakil dari Persatuan Sikh Malaysia yang mendakwa kontroversi dicetuskan filem terbabit.

Pengarah Urusannya, Abdul Rahman Mt Dali, 62, berkata, beliau tidak terfikir lagi untuk berbuat demikian memandangkan apa yang dipaparkan dalam filem ini berdasarkan fakta.

"Pertamanya, ini ialah fakta sejarah yang tak dapat dinafikan. Jadi macam mana kita nak buat filem kalau bukan begitu kita gambarkan. Takkan saya nak letak askar Melayu atau Inggeris (dalam babak terbabit).

"Itu lagilah satu penipuan sejarah. Semua orang kena terimalah hakikat apa yang berlaku dalam sejarah. Jadi tak perlu nak rasa marah atau sebagainya.

"Kalau nak marah, bukan marah kepada kita (orang Melayu) atau saya tapi kepada orang Inggeris," katanya kepada Harian Metro.

Abdul Rahman berkata, keduanya filem adalah hiburan dan orang rasional tidak akan merasa ia sebagai satu perkara yang boleh membangkitkan perpecahan kaum atau sentimen dan sebagainya.

"Ia sama juga seperti Hollywood gambarkan pihak-pihak mereka yang kadang-kadang tak betul pun," katanya.

Terdahulu, tular isu kekesalan Persatuan Sikh Malaysia berhubung watak askar British daripada kaum Sikh yang dikatakan boleh mewujudkan salah faham terhadap agama dan kaum dalam negara yang dipaparkan menerusi filem arahan Syamsul Yusof ini.

Dalam satu kenyataan di Facebook, mereka seolah-olah kecewa apabila filem terbabit mempamerkan kaum dan agama lain seperti Sikh sebagai penjahat.

"Filem mengenai tokoh sejarah Mat Kilau tetapi malangnya ia menggambarkan kaum dan agama lain sebagai penjahat. Kami percaya ini boleh membawa kepada ketidakharmonian kaum," kata mereka.

Turut dipersoalkan babak askar Sikh yang bertindak kasar dengan mencedeerakan orang tua, kanak-kanak dan golongan tidak berdaya dalam filem berkenaan.

"Bahagian itu ditambah oleh produser untuk membuat jalan cerita menjadi menarik. Kod amalan Sikh melarang melakukan kekerasan ke atas orang tua, kanak-kanak, wanita dan golongan yang tidak berdaya walaupun sewaktu berperang," kata mereka.

Menurut mereka, babak kontroversi dalam filem itu menyebabkan mereka kurang senang dengan sentimen dipaparkan walaupun hanya rekaan.

"Kami dengan rendah hati menggesa industri filem Malaysia untuk tidak menghasilkan filem yang mempunyai sentimen agama dan kaum. Sekali gus berpotensi menimbulkan salah faham terhadap agama dan kaum."

Filem yang ditayangkan sejak 23 Jun lalu itu kini memasuki 17 hari tayangan dan berjaya mengaut kutipan RM61 juta setakat ini.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.