Rakyat jangan beli barang mentah terlalu banyak, nasihat Timbalan Menteri

encik gotenks
0

 


Masyarakat dinasihati untuk tidak membeli barangan mentah dalam kuantiti yang terlalu banyak bagi mengelak berlaku isu terputus bekalan sepanjang musim perayaan Aidilfitri.


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) II Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, tindakan itu secara tidak langsung menghormati pengguna lain yang turut memerlukan bekalan barangan mentah.


Katanya, namun begitu, Mafi sudah mengambil langkah awal dengan membuat perbincangan dengan syarikat pengeluar ayam dan pengimport daging bagi memastikan bekalan berkenaan sentiasa ada bagi menampung keperluan masyarakat.


"Ada antara pengguna yang mengambil peluang membeli bekalan ayam dalam jumlah yang banyak untuk dijadikan stok sehingga sebulan dan ia adalah tindakan yang boleh menyebabkan gangguan pada bekalan bahan mentah terbabit.



"Beli dahulu untuk kegunaan dalam masa terdekat, selepas raya, mereka masih lagi boleh mendapatkan barangan mentah berkenaan kerana Mafi sendiri memberi jaminan bekalan akan mencukupi.


"Kita nasihatkan juga kepada orang ramai agar membeli barangan mentah mulai hari ini untuk tujuan sambutan Aidilfitri. Ini kerana, hasil pemantauan di pasar, bekalan makanan asasi masih mencukupi," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Semarak Syawal Peringkat Negeri Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini, hari ini.


Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Datuk Mohamad Mustahapa Awang dan Pengarah Fama Kelantan Wan Nora Wan Ahmad.



Pada perkembangan sama, beliau berkata, Mafi melalui Program 'My Best Buy Karnival Raya' di seluruh negara membabitkan 797 outlet menyediakan jualan pelbagai jenis barangan dengan diskaun harga sehingga 20 peratus untuk pengguna.


"Program itu bukan sahaja menyediakan barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran malah juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang, lemang serta kuih-muih.


"Mafi terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan bekalan mencukupi selain harga berpatutan melalui program sebegini," katanya.


Mengulas berkenaan video tular yang mendakwa bekalan ayam di Kelantan bakal terputus sepanjang Aidilfitri, Nik Muhammad Zawawi berkata, ia hanya andaian segelintir pihak selain berkemungkinan kerana jualan ayam di sesetengah tempat habis terlalu awal.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)