Header Ads

Kalau bot yang mereka mahu, kita luluskan segera, kata Ketua Menteri Sabah

 


Kerajaan negeri meluluskan serta-merta peruntukan menyediakan bot untuk kegunaan murid sekolah dan penduduk di Kampung Nangkawangan, Nabawan.


Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor turut mengarahkan Pegawai Daerah Nabawan supaya berhubung segera dengan Jabatan Ketua Menteri bagi mendapatkan peruntukan membeli bot berkenaan.


"Kalau bot yang mereka mahu, kita (kerajaan negeri) luluskan segera. Saya minta Pegawai Daerah berhubung dengan pejabat saya untuk mendapatkan peruntukan membeli bot," katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa bersama Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia Sabah, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Sabah dan Dewan Perdagangan dan Industri Asean Sabah, di sini, hari ini.



Hajiji memberi reaksi itu bagi mengulas tindakan kerajaan negeri dalam membantu murid dan penduduk di Kampung Nangkawangan, Nabawan yang terpaksa bergadai nyawa menyeberang sungai selepas jambatan gantung yang menjadi penghubung utama kampung itu dihanyutkan banjir besar, bulan lalu.


Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri turut memberi jaminan kerajaan akan membina semula jambatan yang menghubungkan kampung berkenaan untuk kemudahan murid sekolah dan penduduk kampung.


"Saya dapat makluman Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup juga sudah menyatakan komitmen untuk memastikan jambatan di kampung itu dibina semula," katanya.


Sebelum ini, beberapa video tular di media sosial mengenai murid di Kampung Nangkawangan, Nabawan yang terpaksa bergadai nyawa menaiki rakit buluh atau bergayut pada kabel zip line untuk menyeberang sungai hingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen.



Jurucakap penduduk Kampung Nangkawangan, Zazila Roslan, 30, berkata, kaedah itu terpaksa digunakan selepas jambatan gantung di kampung berkenaan hanyut akibat banjir besar bulan lalu.


Katanya, penduduk turut dimaklumkan oleh wakil rakyat kawasan itu baru-baru ini bahawa usaha sedang diambil untuk menyediakan bot bagi kegunaan penduduk sementara menunggu pembinaan jambatan baharu.


Bagaimanapun, katanya, bot yang dijanjikan belum lagi ada menyebabkan penduduk kampung terpaksa berakit untuk ke seberang sungai dan jika keadaan sungai deras, mereka terpaksa menggunakan zip line.


Semalam, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju mengeluarkan peruntukan kecemasan untuk membaiki kerosakan akibat bencana alam itu selepas menemuinya berhubung kesukaran dihadapi rakyat kawasan berkenaan.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.