Header Ads

Untung bersih Astro melonjak hampir sekali ganda berbanding tahun lepas

 


 Astro Malaysia Holdings Bhd mencatatkan untung bersih sebanyak RM141 juta pada suku pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022, meningkat 91 peratus berbanding suku sama tahun kewangan sebelumnya.

Pendapatannya meningkat satu peratus kepada RM1.06 bilion berbanding RM1.05 bilion sebelumnya.

Keputusan kewangan memberangsangkan itu membolehkan Lembaga Pengarahnya mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 1.5 sen sesaham.


Dalam satu kenyataan, Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi, berkata Astro mencatatkan pemulihan kukuh pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 di tengah-tengah pelaksanaan semula sekatan pergerakan.


Beliau berkata, Astro terus menjana wang, berdisiplin dengan kos dan proaktif dalam pengurusan modalnya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan, berkata tahun kewangan semasa akan menjadi tahun yang penuh mencabar.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan terus melaksanakan strategi yang menyaksikan Astro bulan ini memperkenalkan dua perkhidmatan penstriman baharu iaitu 'sooka' yang menampilkan siaran sukan secara langsung dan kandungan tempatan untuk milenia dan 'Disney + Hotstar' dengan kandungan mengagumkan pada nilai luar biasa.



Katanya, Ultra dan Ulti Box Astro sudah ada di lebih 300,000 rumah yang memberikan pelanggan pengalaman tontonan baharu.


"Astro GO, yang disempurnakan dengan ciri 'pra-akses' dan 'muat turun', mempunyai 1.4 juta pelanggan aktif setiap bulan dengan purata masa tontonan mingguan 213 minit, sementara video 'On Demand' yang distrim pelanggan meningkat tiga kali ganda sehingga 100 juta.


"Pangkalan jalur lebar kami berkembang sekitar 80 peratus dari tahun ke tahun kerana lebih banyak pelanggan menggabungkan jalur lebar dengan pakej kandungan mereka untuk kemudahan dan nilai," katanya.

Sumber : berita harian

No comments:

Powered by Blogger.