Header Ads

Tiada lagi kemeriahan nikmati buah durian seperti biasa, peniaga terpaksa lakukan bermacam cara untuk dapatkan jualan

 


Kehadiran musim durian ketika penguatkuasaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) menyebabkan peniaga menggunakan pelbagai kaedah jualan bagi mengelakkan berlaku lambakan raja buah itu.


Bagi melariskan jualan, peniaga melakukan teknik pemasaran secara dalam talian di Facebook atau aplikasi WhatsApp selain menawarkan khidmat penghantaran kepada pelanggan.


Pemilik dusun durian, Shamsul Abdul Aziz, 34, berkata, durian Balik Pulau paling ditunggu-tunggu penggemarnya dan penjual sudah melalui pengalaman musim durian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.


Katanya, walaupun harga durian dijangka merosot, namun peniaga mempunyai kaedah tersendiri bagi menjualnya.


"Kami menyediakan khidmat penghantaran di sekitar Pulau Pinang dengan membuat tempahan menerusi pesanan di Facebook atau aplikasi Whatsapp.



"Sebelum itu, saya akan menghantar gambar dan memberi sedikit penerangan mengenai warna dan rasa buah durian mengikut permintaan pelanggan," katanya ketika ditemui di Tanjung Tokong, di sini.


Bagaimanapun Shamsul berkata, dia tidak menggalakkan penghantaran di luar Pulau Pinang kerana mahu menjamin kesegarannya.


Katanya, bagi mengatasi lambakan durian, buah yang tidak terjual akan diisi semula dalam bekas dan disejuk beku.


"Memang harganya sedikit murah berbanding buah durian yang belum dikopek, namun peminat durian jarang membelinya kerana mahu menikmati buah segar.


"'Lockdown', harga pun terpaksa 'down' juga, tetapi bergantung kepada jenis buah," katanya yang memiliki dusun durian seluas 1.6 hektar di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau dan mempunyai 18 jenis buah.



Tinjauan di beberapa gerai mendapati hanya seorang pembeli dibenarkan memilih buah durian, selain mengikut penjarakan fizikal, mengimbas kod MySejahtera dan mengimbas suhu.


Pekerja swasta, Muhammad Izwan Hamzah, 33, berkata dia tidak dapat menyaksikan kemeriahan jualan durian sejak dua tahun lalu yang boleh diibaratkan sebagai pesta dan sering ditunggu dalam kalangan 'hantu durian'.


Katanya, dia lebih gemar membeli durian di kedai berbanding penghantaran ke rumah kerana mahu memilih dan melihat sendiri durian berkenaan.


"Jika dulu saya bersama isteri akan membawa pulut dan makan di gerai ketika membeli durian kerana mahu menikmati buah yang segar selain melihat gelagat pengunjung dari luar Pulau Pinang termasuk pelancong asing datang menawar harga dengan penjual.

Penafian : Gambar yang digunakan hanyalah sekadar hiasan semata-mata

Sumber : harian metro

No comments:

Powered by Blogger.