Header Ads

Minyak masak paket plastik sebagai alternatif, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

 


Pengguna boleh mendapatkan minyak masak bersubsidi dalam paket plastik sebagai alternatif susulan kenaikan mendadak harga minyak masak dalam botol lima kilogram ketika ini.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kualiti minyak masak dalam paket plastik satu kilogram (kg) adalah setanding dengan minyak masak dalam botol.


Menurutnya, minyak masak bersubsidi dijual dengan harga RM2.50 sekg berbanding minyak masak dalam botol yang harganya tidak dikawal kerajaan dan dijual pada pelbagai harga dan berat.


"Kerajaan menyediakan kuota sebanyak 60,000 metrik tan minyak masak dalam paket plastik satu kilogram setiap bulan bersamaan 720,000 metrik tan setahun.


"Bekalan ini mencukupi untuk menampung keperluan 32 juta rakyat dan mereka ada pilihan untuk mendapatkan minyak yang murah.


"Berdasarkan kajian, kegunaan minyak untuk rakyat Malaysia adalah 1.8 kilogram sebulan, ini purata kegunaan untuk isi rumah dan jika diikutkan bekalan minyak bersubsidi ini cukup untuk kegunaan rakyat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.


Media sebelum ini melaporkan harga minyak masak lima kilogram mengalami peningkatan mendadak sehingga RM35 sebotol berikutan kenaikan harga sawit di ladang yang kini dilaporkan naik sehingga RM1,000 setan, berbanding RM300 setan sebelum ini.


Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, pemerhatian KPDNHEP juga mendapati bungkusan minyak masak bersubsidi mudah didapati di pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara.


Katanya, orang ramai boleh memaklumkan kepada KPDNHEP sekiranya bekalan minyak masak bersubsidi tiada di lokasi masing-masing atau sekiranya ia dijual melebihi RM2.50 sebungkus.



"KPDNHEP menyambut baik langkah sebahagian pasar raya mengehadkan pembelian minyak masak bersubsidi kepada tiga bungkusan bagi setiap pelanggan.


"Ia bagi mengelak penyalahgunaan dan pembelian panik sehingga boleh mengganggu bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran," katanya.


Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.